Followers

like button

Monday, December 27, 2010

"Insya-Allah! Kamu akan mati di tanganku!"

Sebelum Hijrah, Ubay bin Khalaf pernah berkata kepada Rasulullah SAW dengan agak sombongnya: "Aku membela seekor kuda yang diberi cukup makan. Aku akan membunuhmu pada suatu hari dengan memacunya!"

      Rasulullah menjawab: "Insya-Allah! Kamu akan mati di tanganku!"
Semasa berlakunya Perang Uhud, Ubay bin Khalaf berkeliaran di medan perang mencari Rasulullah sambil berteriak: "Kalau Muhammad tidak dibunuh, hari ini aku tidak berpeluang hidup!"
 
      Akhirnya setelah puas mencari, Ubay bin Khalaf bertembung dengan pasukan Rasulullah dan cuba hendak menyerang baginda. Para sahabat memutuskan hendak menamatkan riwayat Ubay bin Khalaf terlebih dahulu sebelum sampai kepada Rasulullah. Tapi, baginda melarang sahabatnya membunuh orang yang memusuhi baginda.

      Ubay bin Khalaf yang sedang menunggang kuda cuba mendekati baginda tetapi ketika itulah Rasulullah mengambil sebatang lembing daripada salah seorang sahabat lantas merejamnya.


      Rejaman lembing baginda terkena sipi leher Ubay bin Khalaf. Lelaki itu terhuyung-hayang lalu terjatuh dari kudanya. Selepas terjatuh, Ubay bin Khalaf lantas lari termengah-mengah menuju ke khemahnya sambil berteriak seperti seekor lembu jantan.

      Rakan-rakannya cuba menenangkan Ubay bin Khalaf yang sedang gementar dan pucat. Setelah diperiksa, lehernya sekadar melecet sedikit sahaja. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan kerana kecederaan yang dialami tidak parah.

      Abu Suffian menempelak Ubay bin Khalaf yang menangis dan meraung tidak ubah seperti perangai kanak-kanak. Tapi, kata-kata Abu suffian itu disanggah Ubay bin Khalaf.

      "Engkau tahu tak, siapa yang telah melukakan aku? Tidak lain dan tidak bukan dialah Muhammad. Demi al-Lat dan al-Uzza! Kalau deritaku ini tertimpa ke atas semua orang Hijaz, tidak seorang pun akan hidup..."

       Wajah Ubay bin Khalaf bertambah pucat dan berasa amat takut apabila teringatkan kata-kata Muhammad kepadanya di Mekah dulu. Ubay bin Khalaf yakin bahawa dia akan mati di tangan baginda.

       "Andai kata Muhammad meludahi aku, nescaya habislah aku..." beritahu Ubay bin Khalaf.
        Ubay bin Khlaf meninggal dunia semasa dalam perjalanan pulang ke Mekah akibat menderita melecet sedikit di leher terkena rejaman lembing Rasulullah.

No comments: